Antara pemandu teksi yang menyertai perhimpunan aman. FOTO Mohd Latif Ahmad
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PEMANDU teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap pertambahan pemandu Uber dan Grab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, hari ini.

Lebih 100 pemandu teksi mula berkumpul di kawasan DUN Lama sejak 9 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut bagi memulihkan pendapatan mereka yang dikatakan terjejas.

Tindakan itu juga menyebabkan perkhidmatan teksi di LTAK tergendala sejak pagi hari ini kerana kebanyakan pemandu menyertai perhimpunan.

Pengurus Kanan LTAK Mohd Nadzim Hashim berkata, tindakan pemandu teksi menyebabkan kebanyakan penumpang yang tiba di lapangan terbang sejak pagi tadi tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Gabungan Teksi Kuching, perkhidmatan teksi di LTAK hanya akan bermula 6 petang ini.

"Mereka protes terhadap peningkatan permintaan pengguna yang beralih kepada Uber dan Grab sejak kebelakangan ini.

"Walaupun bantahan tidak diadakan di LTAK namun operasi teksi tetap terjejas. Penumpang juga dinasihatkan untuk menggunakan alternatif lain untuk datang atau keluar dari LTAK," katanya di Kuching, hari ini.

Mohd Nadzim berkata, penumpang juga boleh mendapatkan bantuan daripada kakitangan LTAK sekiranya memerlukan sebarang nasihat perjalanan dan alternatif pengangkutan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 4:41 PM