JENAZAH Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tampoi, Krubong.
HM Digital

Melaka: “Sebelum meninggal dunia, arwah suami sempat bepesan pada ibu saya supaya jenazahnya dikebumikan di Melaka. Menurut arwah, meskipun sudah tiada, dia masih lagi dekat dengan anak-anak,” kata Norsuraya Khalil, 32, isteri kepada pesakit barah hati tahap empat, Kamarudin Ramli, 37, yang meninggal dunia, semalam.

Kamarudin menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman keluarganya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, jam 2 pagi di sisi Norsuraya, tiga anak mereka dan ahli keluarga terdekat lain.

Norsuraya berkata, arwah suaminya berasal dari Jelai, Gemas, Negeri Sembilan dan kerana itu dia meminta jenazahnya dikebumikan di Melaka bagi memudahkan anak-anak dan saudara-mara lain menziarahi pusaranya selepas ini.

Menurutnya, pemintaan terakhir arwah itu ditunaikan dan mereka sekeluarga mengambil keputusan mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tampoi yang terletak satu kilometer dari PPR Krubong.

Katanya, Rabu lalu, arwah tiba-tiba mengalami sesak nafas menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Melaka sebelum ditahan selama dua hari untuk rawatan lanjut.

“Ketika dirawat di hospital, doktor mengambil keputusan menebuk perut arwah yang ketika itu kembung dan keras bagi mengeluarkan air bisa. Selepas perutnya ditebuk kali kedua, arwah semakin lemah menyebabkan kami sekeluarga sepakat membawanya pulang ke rumah.

“Malam Jumaat lalu, kami mengadakan majlis bacaan Yasin memohon kepada Allah semoga kesihatan arwah bertambah baik,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:28 AM