ANGGOTA bomba membersihkan lokasi kejadian kereta pasangan suami isteri dihempap pokok tumbang, semalam.
HM Digital

Klang: Suami isteri cedera selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Batu Rakit bersebelahan Sekolah Tinggi Klang di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, lelaki berusia 33 tahun dan isterinya, 29 tahun dikatakan memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 12.36 tengah hari sebelum jentera dari balai itu bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kita dapati pokok tumbang dan menghempap kereta Proton Saga.

“Mangsa yang berada dalam kenderaan itu keluar sendiri sebelum bantuan tiba. Mangsa yang cedera ringan seterusnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati pokok itu tiba-tiba tumbang ketika suami isteri terbabit memberhentikan kenderaan di lampu isyarat jalan berkenaan.

“Pihak kami kemudiannya memotong batang berkenaan menggunakan gergaji berantai dan membersihkan kawasan itu,” katanya.

Difahamkan, lelaki berkenaan lebam di tengkuk manakala isterinya cedera di kepala selepas cermin kereta yang pecah terkenanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:08 AM