Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


ENAM nelayan tempatan termasuk seorang dari Sekinchan, Selangor yang kini ditahan di Indonesia akan dibebaskan Khamis ini.

Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berkata, pembebasan itu hasil persetujuan pemimpin kedua-dua negara sebelum ini.

Beliau berkata, nelayan yang berasal dari Sekinchan, Chia Kee Chan, 52, ditahan sejak Februari 2016 atas dakwaan menceroboh perairan negara itu dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun empat bulan.

Bagaimanapun katanya, atas kerjasama kedua-dua negara Chia dibebaskan Khamis ini iaitu lebih awal dari tarikh sepatutnya.

"Pada 14 Disember lalu saya bersama isteri Chia dan seorang anaknya melawatnya di Rumah Tahanan Labuhan Deli, Medan.

"Dia dalam keadaan baik dan sihat dan sepatutnya dibebaskan Ogos ini," katanya ditemui ketika melawat keluarga Chia di Bagan Sekinchan, Sekinchan hari ini.


BUDIMAN (kiri) bersama ahli keluarga Chia Kee Chan yang bakal dibebaskan 11 Januari ini selepas menjalani hukuman penjara hampir dua tahun di Rumah Tahanan Belawan, Lebuhan Deli, Medan. FOTO Faiz Anuar

Menurutnya, Chia bersama lima yang lain akan menaiki penerbangan dari Indonesia pada 3.45 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu isteri Chia, Yeo Su Hung, 45, berkata, dia bersama empat anak akan menanti kepulangan Chia di KLIA, Khamis ini.

Menurutnya, kepulangan suaminya itu adalah hadiah Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang membantu kepulangan suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:23 PM