Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


KEASYIKAN 20 mat rempit yang mempamerkan aksi merbahaya berakhir apabila mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Dataran 1Malaysia Klebang dan Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA), Melaka Tengah, hari ini.

Operasi lebih enam jam yang bermula pada 11.30 malam hingga 6 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 25 tahun selain tujuh motosikal turut disita.

Beliau berkata, lebih 150 kenderaan diperiksa dan 66 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.


Antara mat rempit yang ditahan. FOTO Zuhairi Zuber

"Seramai 14 individu ditahan di Lebuh SPA dan enam lagi di Dataran 1Malaysia Klebang.

"Daripada jumlah yang ditahan itu 10 individu adalah remaja bawah umur," katanya.

Afzanizar berkata, kesemua mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, turut ditahan ketika sekatan di Lebuh SPA seorang lelaki berusia 25 tahun selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan dia disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:23 PM