MOHD Nasir (kiri) bersama pegawai ketika melakukan tinjauan di sekitar Pulau Tengkorak selepas pelancaran operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohamad Zulhairie Manzaidi

am@ hmetro.com.my

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyelesaikan 42 kes membabitkan pelbagai tangkapan dan rampasan dengan nilai cukai RM6,387,521.11, tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Yusof berkata, daripada jumlah itu, 23 kes membabitkan penyeludupan barang larangan, manakala, 19 lagi adalah tangkapan.

Katanya, semua kes hasil operasi bersepadu dijalankan pihaknya dengan kerjasama agensi keselamatan lain menerusi Op Marin.

“Nilai rampasan yang kita catatkan adalah RM602,948.83 iaitu untuk sejumlah rokok putih, minuman keras, beras dan barang kawalan yang lain.

“Manakala, cukai yang terbabit adalah RM6,387,521.11. Bagi setiap tangkapan dikenakan kompaun dan jumlahnya RM16,656," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Mohd Nasir berkata, bagi memastikan sasaran 30 peratus aktiviti penyeludupan dikekang, Op Khas Bersepadu dimulakan esok.

Katanya, ia dimulakan lebih awal sehingga 22 Januari nanti dan pihaknya sudah mengenal pasti kawasan yang menjadi titik panas menerusi risikan dilakukan.

“Operasi khas ini akan bertumpu di kawasan perairan sempadan Kelantan-Thailand terutamanya di sekitar Pulau Tengkorak dan Tak Bai.

“Kita juga akan perketatkan kawalan di jalan darat serta menutup laluan keluar masuk penyeludup sepanjang operasi diadakan dengan membabitkan kerjasama agensi yang lain," katanya.

Agensi terbabit termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:08 PM