ANTARA bot nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) percaya isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat dihentikan apabila Vietnam mendapat amaran daripada Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu berkenaan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, Vietnam yang menerima amaran itu, September tahun lalu dipercayai berada dalam tekanan sekali gus akan berusaha memastikan isu pencerobohan nelayan mereka ke negara asing termasuk Malaysia dapat diatasi.

“Vietnam diberi ‘yellow card’ (kad kuning) pada September lalu dan mereka diberikan tempoh enam bulan untuk menentukan sama ada mereka kekal dengan kad kuning atau dinaikkan ke kad merah atau penanda kad itu dihentikan.

“Menurut laporan dikeluarkan INTERPOL Fisheries Crime Working Group memaklumkan bahawa Vietnam sudah mula mengkaji undang-undang mereka dan memperketatkan lagi hukuman kepada nelayan mereka sendiri yang didapati menceroboh masuk ke perairan negara lain.

“Jadi, pelaksanaan itu sudah ada cuma mengambil masa untuk melihat keberkesannya. Pada masa yang sama, APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan kita,” katanya.

“EU memantau perkara ini dan mereka melihat daripada laporan yang dihantar negara lain termasuk Malaysia. Kita juga menghantar laporan kepada EU yang menyatakan berlakunya pencerobohan nelayan Vietnam di perairan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengarah Maritim Wilayah Selatan daripada Laksamana Pertama Maritim Datuk Adon Shalan kepada Laksamana Pertama Maritim Datuk Abu Bakar Idris di Johor Bahru, hari ini.


ZULKIFLI (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan tugas daripada Adon (kiri) kepada Abu Bakar. FOTO Hairul Anuar Rahim

Zulkifili berkata, Vietnam yang juga negara kedua terbesar pengeksport produk perikanan kepada EU amat terkesan dengan kad kuning yang diterima memandangkan ia boleh menjadi satu kerugian besar kepada negara itu sekiranya isu terbabit tidak dapat diatasi sehingga boleh menerima kad merah sekali gus tidak lagi dibenarkan mengeksport produk perikanan mereka.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia juga perlu berhati-hati dan mengelakkan daripada turut menerima amaran kad dari agensi antarabangsa itu, namun sehingga kini, pihaknya berpuas hati kerana nelayan tempatan yang mematuhi undang-undang.

“€œPerlu diingat juga bahawa antara punca pencerobohan perairan ini ada yang dilakukan oleh bot tempatan yang didaftarkan di Malaysia, namun menggaji nelayan Vietnam.

“Ini yang akan membabitkan kerjasama antara bot tempatan dengan nelayan asing ini. Itu yang berlaku pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di laut seperti pemindahan barangan di laut, pengklonan bot serta penggunaan pukat gading.

“Jadi, penguatkuasaan akan terus dijalankan bukan saja oleh APMM tetapi Jabatan Perikanan yang akan memantau aktiviti bot nelayan tempatan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 12:11 PM