ORANG ramai berebut-rebut membeli ayam dan ikan yang dijual pada harga murah di SJKC Lum Hua, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: “Saya datang jam 7 pagi lagi semata-mata mahu membeli ikan murah yang dijual hari ini (semalam),” kata pengunjung Mohamad Hair Abdullah Sani, 33.

Dia antara 2,000 yang hadir dalam program Jualan Ikan dan Ayam Harga Patut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lum Hua di sini, semalam.

Mohamad Hair berkata, dia mengetahui program itu melalui laman sosial Facebook (FB) serta banting yang dipasang sekitar daerah itu.

“Sebelum ini, saya membeli ikan di Pasar Awam Sungai Besar, tetapi terpaksa menunggu lama berikutan pengunjung terlalu ramai.

“Selepas mengetahui program ini, saya tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis ikan yang dijual pada harga murah,” katanya yang menetap di pekan Sungai Besar.

Menurutnya, dalam program itu, dia membeli ikan kembung, cencaru dan selar sebanyak dua kilogram bagi setiap jenis.

“Ikan dijual dalam program ini memang murah iaitu RM5 satu kilogram jika dibandingkan dengan tempat lain.

“Saya harap ia diteruskan pada tahun depan untuk membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Program itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Sementara itu, pengunjung lain, Abdul Razak Omar Said, 40, berkata, program itu terbukti dapat membantu penduduk sekitar daerah itu yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

“Saya akui, harga barang semakin mahal ditambah pula, hasil laut seperti ikan turut terkena tempias dan memberi kesan kepada penduduk kampung.

“Dengan adanya program sebegini, ia memudahkan penduduk merancang perbelanjaan bulanan selain mengurangkan kos yang semakin meningkat,” katanya yang menetap di Teluk Rhu, dekat sini.

Abdul Razak berharap program itu bukan saja diteruskan pada masa akan datang tetapi turut menjual pelbagai hasil laut lain.

“Kalau boleh, pihak berkaitan seperti LKIM melakukan program ini lebih kerap. Ini bukan saja membantu individu kurang berkemampuan malah mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, Irmohizam berkata, pihaknya menggerakkan program itu dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

“LKIM bekerjasama dengan PNK peringkat kebangsaan dan negeri bagi menggerakkan program ini di lokasi terpilih bermula November lalu.

“Sehingga hari ini (semalam), 18 lokasi lokasi jualan diadakan termasuk di pameran Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya.

Beliau berkata, dalam program semalam lima tan ikan dan 1,000 ekor ayam habis dijual dalam tempoh empat jam jualan mulai 8.30 pagi.

Menurutnya, pelbagai jenis ikan seperti cencaru, kembung dan selar dijual pada harga RM5 sekilogram manakala ayam sejuk beku dijual pada harga RM8 seekor dan ayam biasa RM12 seekor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:12 AM