KEMUDAHAN kolam renang dan contoh deko rumah yang siap.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) menyewakan kediaman mereka dengan bersyarat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kelonggaran itu hanya akan diberikan untuk kes tertentu saja bagi mengelakkan ia disalahgunakan pihak tidak berkaitan untuk tujuan mengaut keuntungan.

“Jika pemilik perlu berpindah tugas di tempat jauh contohnya ke Sarawak atau mana-mana takkanlah rumah dia hendak dibiarkan kosong saja.

“Jadi, kita akan melihat perkara ini dan memberi kelonggaran supaya rumahnya dapat disewakan kepada orang lain dengan syarat tertentu termasuk hanya disewakan kepada warga tempatan saja.

“Kementerian dengan kerjasama Badan Pengurusan Bersama (JMB) sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan pemilik dan penyewa mematuhi dasar ditetapkan, misalnya dalam dua kes terbaru di Residensi Pandanmas, kita menghalau serta merta penyewa warga asing manakala pemilik rumah itu dikenakan amaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Sentulmas, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi Kumpulan Aset Kayamas Sdn Bhd Tan Sri Chai Kin Kong.


RUMAWIP Residensi Sentulmas yang siap 23 bulan lebih awal.

Sebelum ini, Tengku Adnan pernah berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik RUMAWIP yang menyewakan kediaman mereka kepada orang lain dengan bermotifkan keuntungan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, projek Residensi Sentulmas berjaya disiapkan pemaju dalam tempoh 23 bulan lebih awal sejak pembinaannya dimulakan pada 2015.

“Faktor perancangan pembangunan yang efektif daripada pemaju, kontraktor serta sinergi yang baik bersama agensi kerajaan dan penduduk setempat menjadi pemangkin kepada kejayaan projek ini disiapkan lebih awal.

“Sehingga kini, 15 projek RUMAWIP membabitkan 12,919 unit kediaman disumbangkan pemaju dengan tiga daripadanya berjaya disiapkan dan saya percaya akan ada sebahagian lagi disiapkan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:06 AM