HISHAMUDDIN (kiri) beramah mesra dengan murid SRK Kampung Melayu Chamek.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my

Kluang : Kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan persetujuan untuk bersama Malaysia membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persetujuan itu dizahirkan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohamed Salman dan Putera Mahkota UAE Putera Sheikh Mohammad Zayed Al-Nahyan, baru-baru ini.

“Ketika dalam lawatan saya ke Maghribi, saya sempat menghubungi (panggilan telefon) kedua-dua putera mahkota dan mereka bersetuju untuk bersama-sama kita (Malaysia) membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

“UAE dan Arab Saudi bersetuju untuk menyalurkan sumbangan dan perubatan di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh dan insya-Allah dalam masa terdekat kita akan melihat tiga bendera iaitu Malaysia, Arab Saudi dan UAE berkibar di bumi Bangladesh,” katanya selepas majlis penyerahan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas pelajar Ladang Landak di Pekan Paloh, di sini, semalam.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas dan Ahli Parlimen Sembrong berkata bukan mudah untuk tiga negara menggembleng usaha membantu Rohingya namun ia berjaya dilakukan.

“Persetujuan sudah dicapai. Kita harap ketiga-tiga bendera dapat dikibar ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke kem pelarian itu yang dijangka pada bulan ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai lawatan ke Maghribi pada 22 hingga 24 Disember lalu, Hishammuddin berkata negara itu dilihat boleh menjadi pintu masuk Malaysia dalam mengeratkan hubungan yang sudah terjalin dengan negara tertentu kepada negara baru kerana kedudukan Maghribi terletak antara Eropah, Asia Barat dan Afrika.

Beliau berkata hubungan dengan Maghribi juga dapat membantu Malaysia meningkatkan jalinan risikan dan ketenteraan dalam memerangi keganasan.

Menurut Hishammuddin, lawatan ke Maghribi cukup bermakna dan mendapat penerimaan pihak kerajaan Maghribi dan beliau kagum dengan pengiktirafan dan penghormatan kerajaan Maghribi kepada delegasi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:32 AM