NORIZAN (dua dari kiri) bersama jemaah masjid pada Kempen 1000 tandatangan menyokong masjid baru didirikan di Kepong.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kempen 1,000 Tandatangan bagi menyokong pembinaan sebuah masjid baru dilancarkan di Kepong, semalam menggesa pihak berwajib membina sebuah lagi masjid di dalam Parlimen itu.

Ini kerana Masjid Amaniah sedia ada di kawasan berkenaan sudah tidak mampu menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Penaungnya, Datuk Norizan Ali berkata, pihaknya terpanggil untuk melancarkan kempen berkenaan susulan makluman daripada pengerusi surau yang mahukan tambahan masjid di kawasan terbabit.

“Penduduk di sini hanya ada masjid ini (Masjid Amaniah). Inilah satu-satunya dalam Parlimen ini. Pembangunan pesat di sekitar kawasan ini menyebabkan pertambahan jemaah khususnya ketika solat Jumaat.

“Kita juga sudah kenal pasti lokasi sesuai iaitu di Taman Laman Rimbunan yang mempunyai tanah rizab milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tetapi disewakan kepada pihak lain,” katanya pada sidang media di pekarangan Masjid Amaniah, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong berkata, satu permohonan bersama tandatangan itu akan diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat bagi menyatakan keinginan masyarakat di sini.

Menurutnya, kedudukan masjid itu yang terletak di sempadan antara Parlimen Segambut, Subang dan Batu menyebabkan pertambahan penduduk yang agak drastik, tetapi masjid masih kekal sejak 50 tahun lalu.

“Di Kepong ini, kita ada lebih 20,000 umat Islam. Itu belum warga asing yang bekerja di sekitar sini. Kawasan Parlimen Bukit Bintang pun ada lebih tiga masjid, begitu juga Cheras, tapi di Kepong hanya satu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Kempen berkenaan, Mohd Ramadhan Othman berkata, kawasan baru yang akan dicadangkan berkeluasan tiga ekar yang terletak di tengah-tengah kawasan Kepong.

“Kami begitu berharap agar hasrat ini dipertimbangkan. Datuk Norizan sendiri sebelum ini berjaya mengusulkan Nuzul Quran dijadikan cuti umum di Wilayah Persekutuan dan berjaya. Jadi kali ini, kami harap suaranya sekali lagi didengari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 8:00 AM