Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


KETUA jurulatih pasukan bola sepak yang beroperasi di Tampin, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kerana disyaki mengatur perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) pada November lalu.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di Seremban, kira-kira 3 petang.

"Suspek disyaki membayar wang rasuah supaya pasukan kendaliannya tewas dalam perlawanan LBR Zon Selatan menentang Kuala Pilah TGI United, pada 25 November tahun lalu.

"Suspek memberi rasuah kepada 18 pemain iaitu RM80 setiap seorang, manakala RM100 seorang diberikan kepada tujuh kakitangan pasukan itu. Pasukannya tewas 11-2 kepada pasukan lawan," katanya.

Katanya, siasatan dilakukan SPRM selepas menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Senawang, selepas tamat perlawanan.

Menurut sumber, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani dihubungi mengesahkan penahanan dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Seremban, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 9:15 PM