Shamsul Nizam (tiga kanan) menunjukkan keropok udang yang didapati menggunakan logo halal yang direka sendiri tanpa pengesahan JAKIM pada sidang media di Pejabat KPDNKK Perak, Ipoh. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak menyerbu premis menggoreng dan membungkus keropok udang di Lawan Kuda, Gopeng kerana menggunakan logo halal rekaan sendiri tanpa pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), semalam.

Serbuan 11 pagi itu membabitkan empat anggota penguat kuasa KPDNKK Perak serta tiga pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selepas menerima aduan awam berhubung penggunaan logo halal yang meragukan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya menjalankan risikan selama seminggu sebelum mendapati premis perniagaan menggoreng serta membungkus keropok udang itu menggunakan penandaan tulisan halal rumi dan jawi pada bungkusannya.

Katanya, hasil siasatan dijalankan terhadap seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai pemilik perniagaan itu mendapati premis itu sudah beroperasi kira-kira dua tahun dan memperoleh keropok mentah daripada Indonesia.

Menurutnya, keropok mentah yang diperoleh itu digoreng dan dibungkus di premis berkenaan sebelum dipasarkan di Kawasan Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) sepanjang laluan Tapah hingga ke Tanjung Malim.

"Pengesahan awal oleh pegawai JAIPk menyatakan syarikat itu tidak pernah membuat permohonan sijil halal ke atas produk keropok udang itu dan mendapati logo halal digunakan adalah direka sendiri.

"Oleh itu, pihak kami mengambil tindakan menyita sebanyak 396 bungkus keropok dan 1,600 plastik pembungkusan yang mempunyai perkataan 'Halal' dalam rumi dan jawi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,786," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Perak di Ipoh, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, tindakan diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Katanya, KPDNKK memandang serius terhadap premis perniagaan menggunakan perakuan halal serta penandaan halal tanpa pengesahan JAKIM dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

"Pemeriksaan dari Januari 2017 sehingga semalam terhadap premis di negeri ini, sebanyak 17 kes dicatatkan dengan nilai rampasan sebanyak RM8,377 dicatatkan membabitkan isu halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 5:14 PM