Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


KEMPEN 1,000 Tandatangan bagi menyokong pembinaan sebuah masjid baru dilancarkan di Kepong hari ini bagi menggesa pihak berwajib membina sebuah lagi masjid.

Ini kerana ketika ini, Masjid Amaniah adalah satu-satunya masjid dan ia tidak mampu menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Penaungnya, Datuk Norizan Ali berkata, pihaknya terpanggil melancarkan kempen berkenaan susulan makluman daripada pengerusi surau yang mahukan tambahan masjid di kawasan terbabit.

"Penduduk hanya ada masjid ini (Masjid Amaniah). Inilah satu-satunya dalam Parlimen ini. Pembangunan pesat di sekitar ini menyebabkan pertambahan jemaah khususnya ketika solat Jumaat.

"Kita juga sudah kenal pasti lokasi sesuai iaitu di Taman Laman Rimbunan yang mempunyai tanah rizab milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tetapi disewakan kepada pihak lain," katanya pada sidang media di perkarangan Masjid Amaniah hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong berkata, satu permohonan bersama tandatangan itu akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat bagi menyatakan keinginan masyarakat.


Norizan (dua dari kiri) bersama jemaah masjid pada Kempen 1,000 Tandatangan menyokong sebuah masjid baru didirikan lagi di Parlimen Kepong. FOTO Rohanis Shukri

Menurutnya, kedudukan masjid yang terletak di sempadan antara Parlimen Segambut, Subang dan Batu menyebabkan pertambahan penduduk yang agak drastik, tetapi masjid masih kekal sejak 50 tahun lalu.

"Di Kepong ini kita ada lebih 20,000 umat Islam. Itu belum warga asing yang bekerja di sekitar sini.

"Kawasan Parlimen Bukit Bintang pun ada lebih tiga masjid, begitu juga Cheras, tapi di Kepong hanya satu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Kempen 1,000 Tandatangan Mohd Ramadhan Othman berkata, kawasan baru yang akan dicadangkan berkeluasan tiga ekar yang terletak di tengah-tengah kawasan Kepong.

"Kami begitu berharap agar hasrat ini dipertimbangkan. Datuk Norizan sebelum ini berjaya mengusulkan Nuzul Quran dijadikan cuti umum di Wilayah Persekutuan dan berjaya. Jadi kali ini, kami harap suaranya sekali lagi didengari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 4:05 PM