Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


GENG Yamaha 125Z dipercayai penjenayah yang melakukan rompakan di kedai emas dalam pusat beli belah di Kemayan Square, Seremban, membabitkan kerugian RM1 juta, malam tadi.

Dalam kejadian 8.43 malam itu, enam lelaki memakai jaket warna gelap, seluar panjang dan topi keledar penutup penuh merompak kedai emas berkenaan dan melarikan sembilan dulang barang kemas menaiki tiga motosikal.

Sebelum ini, kumpulan terbabit merompak kedai emas di Taman Bangi Avenue, Selangor, pagi semalam dan di Taman Segar, Cheras pada malam ambang tahun baru lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, empat suspek masuk melalui pintu di tingkat bawah pusat beli belah dan meluru ke kedai emas yang terletak kira-kira 50 meter, manakala dua lagi suspek menunggu di motosikal.

"Seorang suspek yang bersenjata senapang patah mengacukan senjata itu kepada pengawal keselamatan dan berkawal di hadapan premis. Tiga suspek bersenjata objek menyerupai pistol dan tukul besi masuk ke dalam premis lalu memecahkan cermin pameran barang kemas.

"Mereka mengambil sembilan dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta. Suspek meninggalkan senapang patah yang digunakan di rak menjual makanan berhampiran pintu masuk sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.


ANGGOTA polis memeriksa senjata dipercayai diguna oleh perompak. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Katanya, pihaknya masih menyiasat senapang patah yang digunakan suspek itu, sama ada ia adalah senjata sama yang digunakan dalam rompakan di Bangi dan Cheras.

Menurut Thiew, rompakan itu hanya mengambil masa satu minit dan suspek dipercayai sudah melarikan diri keluar dari Seremban.

"Kita sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis dan pusat beli belah berkenaan serta kawasan sekitar untuk mengenal pasti suspek," katanya dan kes disiasat mengikutSeksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi IPD Seremban di talian 06-6014999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 3:00 PM