Anggota PPM menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam. FOTO ihsan PPM
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


SUNGAI Golok yang berada pada paras amaran ketika ini masih menjadi pilihan kumpulan penyeludup untuk membawa masuk barang larangan.

Terbaru, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pangkalan Kubor, Tumpat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 264 tin minuman keras dan 40 liter samsu di pangkalan haram Mentua.

Serbuan kira-kira jam 2.30 petang semalam itu dilakukan selepas pasukan itu melihat sebuah bot galah yang mencurigakan cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya mengesan bot itu dari seberang ketika cuba merapati tebing dipenuhi pokok nipah dekat sempadan negara.

Beliau berkata, sSeorang lelaki tempatan berada dalam bot manakala seorang lagi menunggu di tebing dengan Proton Waja.

“Berikutan itu, anggota kita menyerbu dengan bot ronda di pangkalan haram itu ketika kedua-dua mereka sedang memunggah bungkusan plastik dari bot.

“Bagaimanapun, mereka sempat melarikan diri dengan Proton Waja dan meninggalkan bungkusan berkenaan bersama bot galah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 11 bungkus minuman keras dengan setiap satu mengandungi 24 tin serta dua tong 20 liter berisi samsu.

“Semua minuman ini diseludup dari Thailand dengan arak bernilai RM2,640 manakala samsu pula bernilai RM500 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot galah sebanyak RM7,140,”€ katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang sempat dicatatkan.

“Barangan dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 12:18 PM