KEADAAN rumah mangsa yang berkunci. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


KANAK-KANAK dipercayai mangsa dera, didapati bersikap aktif sehari sebelum meninggal dunia.

Jiran mangsa, berkata ahli keluarganya juga sempat bergurau dengan kanak-kanak berkenaan yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Menurutnya, dia juga menganggap kanak-kanak berkenaan sebagai ahli keluarganya kerana bertemu dengannya hampir setiap hari.

"Hubungan saya dengan mangsa memang rapat dan dia juga memanggil saya nenek.

"Semalam saya tidak tahu apa yang berlaku kerana selepas pulang dari kerja, saya difahamkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Pasti saya dan beberapa keluarga jiran akan merindui mangsa," katanya.

Katanya, dia sudah lama mengenali keluarga mangsa termasuk ibu dan neneknya.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak pernah mendengar jeritan luar biasa mangsa atau melihat sebarang kecederaan pada tubuhnya, malah nenek mangsa menyayanginya dan menjaganya dengan baik.

"Ibu mangsa berkahwin awal namun dia dan pasangannya mengalami masalah rumah tangga hingga tinggal berasingan.

"Namun ibunya menyara mangsa dan neneknya dengan bekerja sebagai juruwang di pasar raya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kulai, hari ini.

Menurutnya, sejak kejadian berlaku, kediaman mangsa berkunci.

"Kami juga tidak tahu apa nasib mayat mangsa sama ada sudah dituntut oleh waris atau masih berada di hospital kerana difahamkan ia dibedah siasat.

"Hingga kini kami juga tidak dimaklumkan berkaitan sebarang upacara pengebumian mangsa, malah kami juga tidak tahu nasib adik perempuan mangsa yang masih bayi kerana sudah beberapa bulan tidak dijaga oleh keluarga berkenaan sebaliknya difahamkan berada di rumah ibu saudaranya," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah seorang kanak-kanak lelaki mati disyaki didera.

Kanak-kanak lelaki itu dihantar sendiri ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, dalam keadaan tidak bernafas, kira-kira 7.30 malam semalam.

Mangsa mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga mangsa selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kirinya.

Terdapat juga kesan lebam lama di bahagian belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkongnya.

Ibu kanak-kanak itu yang bekerja sebagai juruwang dan neneknya ditahan bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Semoga syurga untukmu...

Ibu dan nenek direman seminggu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 10:15 PM