DADAH dirampas polis untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM37,440 dirampas polis dalam serbuan di rumah di Stutong, Kuching, semalam.

Serbuan pada 2.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, antara dadah yang dirampas ekstasi, erimin 5, jus buah campuran ekstasi dan ketamin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui dadah disimpan di dalam beg plastik di atas katil di bilik.

"Suspek yang juga penuntut peringkat diploma kolej swasta di Kuching menjalankan kegiatan ini sejak pertengahan tahun lalu.

"Siasatan lanjut mendapati suspek menjadi pengedar di kelab hiburan sekitar Kuching selain menjual dadah kepada penagih lain," katanya, hari ini.

Sahar berkata, setakat ini polis masih menyiasat sumber bekalan diperoleh suspek untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.

Katanya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek, satu lagi sindiket pengedaran dadah dapat ditumpaskan.

"Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 11:45 AM