Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my


DUA Sekolah Kebangsaan (SK) di perairan Mersing iaitu SK Pulau Aur dan SK Pulai Sibu hanya menjalani proses pembersihan selama seminggu dan bukannya ditutup seperti dilaporkan sebelum ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Md Jais Samat berkata, berikutan itu semua murid dua sekolah berkenaan perlu menghadiri kelas seperti biasa.

"Sebelum ini, sekolah menjalani proses pembersihan dan kebanyakan murid yang belajar di dua sekolah berkenaan mempunyai keluarga di darat termasuk di Felda Tenggaroh dan Kampung Bahagia, Mersing.

"Berikutan itu, mungkin ada murid dan keluarga yang tidak dapat pulang ke dua pulau berkenaan disebabkan laut bergelora.

"Bagaimanapun, saya sudah menerangkan perkara ini kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Johor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) kerana sekolah hanya boleh ditutup selepas menerima arahan pihak berkenaan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, arahan penutupan hanya boleh dikeluarkan sekiranya berlaku keadaan yang boleh membahayakan keselamatan murid dan guru.

Semalam, Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan dipetik sebagai berkata, dua sekolah di pulau iaitu SK Pulau Aur dan SK Pulau Sibu terpaksa ditutup selama seminggu bagi tujuan pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:15 PM