Kalidevi Mogan Kumarappa dan Syanty Octavia Amry
am@hmetro.com.my


LIMA belas individu termasuk beberapa artis seperti Aziz M Osman dan Den Wahab membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang menipu mereka lebih RM90,000 dengan menawarkan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Aziz berkata, isterinya yang mula berurusan dengan wanita yang mendakwa pengurus pelancongan sambilan untuk pakej percutian bagi 22 orang merangkumi ahli keluarga kedua-dua artis itu.

Menurutnya, mereka ditawarkan pakej penuh pada bayaran RM2,000 setiap seorang dan sudah membayar RM50,000 kepada wanita berkenaan.

"Kami yakin untuk mengambil pakej dari wanita itu berikutan dia menggunakan nama Arba Travel dan Tours, sebuah syarikat pelancongan yang terkenal.

"Namun dua hari sebelum kami dijadualkan berlepas pada 24 Disember, wanita itu mendakwa tiket penerbangan yang ditempah untuk kami dibatalkan kerana dia belum membuat bayaran kepada syarikat penerbangan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, kerana yakin pakej pelancongan di Seoul, Korea Selatan sudah diatur, mereka menggunakan wang sendiri sebanyak RM40,000 untuk membeli tiket penerbangan dan wanita itu berjanji untuk membayar wang mereka semula.

Sementara itu, Pengarah Operasi Arba Travel dan Tours Ammar Shahrin berkata, wanita berkenaan pada mulanya menghubungi syarikatnya dengan menyamar sebagai pembantu Aziz dan meminta dia menguruskan pakej pelancongan berkenaan.

"Dia memberikan kami penyata pembayaran berjumlah RM50,000 namun kami tidak menerima sebarang bayaran sebelum mereka berlepas ke Seoul. Namun kami tetap menguruskan pakej itu dengan menyangka wang berkenaan akan dimasukkan selepas mereka tiba di Seoul.

"Bagaimanapun, sebaik dua keluarga itu selamat tiba di negara itu malah sudah tamat percutian hari pertama mereka, baru saya sedar penyata pembayaran itu adalah palsu dan menghubungi wanita itu semula untuk penjelasan," katanya.

Katanya, wanita itu mengakui tindakannya menipu kedua-dua pihak dan berjanji untuk membayar balik.

"Saya terus menghubungi isteri Aziz dan memaklumkan mengenai segala yang berlaku dan selepas mereka selamat tiba di Malaysia, kami membuat keputusan untuk membuat laporan polis selain menuntut wang semula dari wanita itu yang masih boleh dihubungi sehingga sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 6:09 PM