SK Jaya Gading di Kuantan masih ditutup kepada murid-murid selepas dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter pagi ini. FOTO Ihsan GURU SK Jaya Gading
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


MURID dan pelajar di Terengganu dinasihatkan supaya tidak menggunakan alasan banjir atau rumah digenangi air untuk tidak hadir ke sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, murid atau pelajar yang berada di kawasan laluan yang dinaiki air boleh mencari jalan alternatif lain untuk ke sekolah.

"Tidak ke sekolah dengan alasan jalan ditutup kerana banjir tidak relevan kerana banyak laluan alternatif lain yang masih boleh digunakan.

"Melainkan jika sekolah mereka ditutup mengikut arahan Jabatan Pendidikan Negeri kerana faktor yang mengancam keselamatan dan munasabah," katanya.

Menurutnya, murid dan pelajar boleh tidak ke sekolah dengan syarat mereka mempunyai alasan kukuh dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau mengingatkan kepada semua murid dan pelajar di negeri itu supaya tidak menjadikan alasan banjir untuk tidak hadir ke sekolah.

Sementara itu, Shafruddin berkata, hanya dua sekolah yang ditutup kerana banjir di negeri itu pada hari ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, Dungun dan SK Pasir Gajah di Kemaman.

Menurutnya, penutupan dua sekolah berkenaan membabitkan seramai 276 murid dan 40 guru.

Katanya, dua sekolah berkenaan juga dalam proses pembersihan pada hari ini dan sekiranya keadaan banjir pulih kemungkinan ia akan dibuka untuk sesi pembelajaran esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 5:23 PM