Tan (dua dari kanan) berjaya diselamatkan dua penyelam KD Sri Indera Sakti, Norshadaan (kiri) dan Firdaus (dua dari kiri) selepas tercampak ke laut berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


DUA penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan seorang nelayan daripada lemas selepas terjatuh dari botnya di perairan Lumut berhampiran Pangkalan TLDM, pagi ini.

Dalam kejadian jam 8.55 pagi, Tan Ah Seng, 40, diselamatkan dua penyelam Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, Bintara Muda Norshadaan Ab Ghani dan Laskar Kanan Firdaus Yunus.

Sebelum itu, mangsa dari Pulau Pangkor dikatakan terjatuh ke dalam laut akibat kerosakan pada stereng bot dikendalikanya.

Asisten Ketua Staf Operasi, Markas Pemerintahan Armada Barat Kepten Azman Rabani berkata, kejadian itu disedari dua anggota lain kapal berkenaan yang terdengar jeritan meminta tolong.

Menurutnya, anggota berkenaan ternampak mangsa terjatuh ke laut akibat dilambung ombak dalam jarak kira-kira 30 meter.

“Anggota kemudian membuat ‘loud alarm vocal’ dan Kuartermaster kapal yang menerima isyarat kemudian mengambil tindakan pantas dengan mencampakkan boya penyelamat dari Geladak Tambatan dan memaklumkan kepada Pegawai Bertugas Harian (PBH).

“PBH kemudian mengarahkan dua penyelam kapal segera terjun untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Lumut, hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya diselamatkan dua penyelam terbabit dan dibawa naik melalui jeti di kawasan lebih sesuai berikutan keadaan arus ketika itu.

“Mangsa kemudian dibawa ke kapal dan diberikan rawatan kecemasan. Mangsa disahkan selamat dan stabil sebelum dibawa pulang oleh nelayan lain, kira-kira jam 12 tengah hari tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 4:10 PM