ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di makmal komputer SK Bandar Uda 2, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Latihan kebakaran yang diadakan selama ini digunakan sepenuhnya guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2 di sini, ketika menyelamatkan lebih 300 murid sekolah berkenaan apabila makmal komputer sekolah itu tiba-tiba berasap dan terbakar dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, makmal atau bilik siber yang terletak di tingkat satu salah sebuah bangunan sekolah berkenaan terbakar 10 peratus ketika murid sekolah bersedia untuk memulakan sesi persekolahan.

Bagaimanapun, tindakan guru membunyikan lonceng kecemasan, mengumpulkan semua murid di kawasan selamat serta menghubungi bomba dan penyelamat membolehkan pihak berkuasa mengawal kebakaran daripada merebak.

Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila diberitahu makmal sekolah berkenaan terbakar namun lega dengan tindakan pantas pengurusan sekolah menyelamatkan semua murid.

Katanya, difahamkan sebelum kebakaran, bekalan elektrik terputus sebelum murid terdengar jeritan asap oleh salah seorang guru.

“Alhamdulillah, mereka bertindak pantas dan terus meminta semua murid sekolah berkumpul di padang sekolah, jauh dari bangunan yang terbakar itu.

“Pada masa sama, ada guru menghubungi balai bomba dan penyelamat sebelum pasukan berkenaan datang dan memadamkan api.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan sekolah kerana tindakan pantas mereka menyelamatkan nyawa semua murid dan kakitangan sekolah, namun kami berharap pihak terbabit akan menyiasat perkara ini dengan terperinci supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas itu mungkin disebabkan latihan kecemasan yang dilakukan bersama bomba sebelum ini dan berharap ia diadakan setiap tahun.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru diketuai Pegawai Operasi, Ahmad Nazran Omar bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.34 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:36 AM