Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my


DUA Sekolah Kebangsaan (SK) di pulau perairan Mersing, SK Pulau Aur dan SK Pulau Sibu terpaksa ditutup bermula semalam selama seminggu bagi tujuan pembersihan.

Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan berkata, kedua-dua sekolah itu dinaiki air ketika hujan lebat, semalam dan masih tidak boleh digunakan walaupun air surut.

Katanya, keadaan lima pulau yang berpenghuni termasuk Pulau Aur, Pulau Sibu Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Sibu Besar masih dalam keadaan terkawal kerana bekalan makanan yang dihantar cukup sehingga Mac ini.

Selain itu, katanya, orang ramai terutama nelayan dilarang ke laut memandangkan laut bergelora dan boleh membahayakan nyawa mereka.

"Secara keseluruhannya, keadaan banjir di daerah ini akibat hujan lebat dan pertembungan air pasang besar sejak Ahad lalu masih terkawal, namun orang ramai terutama penduduk di kawasan rendah diingatkan sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk dipindahkan.

"Pada masa sama kami akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa memandangkan air pasang dijangka berterusan hingga minggu depan.

"Air laut pasang dijangka setinggi 3.7 hingga 4.00 meter jadi pertembungan antara taburan hujan lebat dan air pasang besar boleh menyebabkan paras air di daerah ini naik mendadak sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, hujan lebat menyebabkan pelbagai kerosakan di beberapa struktur bangunan di pulau termasuk tanah runtuh berdekatan pejabat Taman Laut Pulau Aur.

Menurutnya, kerosakan sebenar belum ditaksir sepenuhnya tetapi dapat dilihat pada struktur bangunan, monsun drain, pagar, rumah genset, stor penguatkuasaan dan sistem air tapisan bersih.

Katanya, terdapat keretakan pada struktur bangunan utama pejabat berkenaan selain tanah runtuh di beberapa kawasan.

"Buat masa ini, masjid, klinik, pondok polis tidak berdepan masalah cuma balai raya perlu dikemas akibat banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 8:37 PM