Mohd Salam dan Nurul Shahila dituduh menipu dan bersubahat menipu seorang peniaga dalam skim pelaburan hartanah yang tidak wujud. FOTO Rozainah Zakaria
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


BEKAS pegawai polis dan isterinya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas pertuduhan menipu dan bersubahat menipu seorang peniaga menyerahkan sebanyak RM140,000 kononnya untuk dilaburkan dalam satu skim pelaburan permodalan hartanah yang tidak wujud, dua tahun lalu.

Mohd Salam Zainal Abidin, 31, dituduh melakukan penipuan itu pada 11.48 pagi, 25 Mei 2016.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu berpangkat Inspektor dituduh menipu Tan Yunn Siong, 50, melalui penama, Zamri Ismail di kaunter Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Kemaman pada tarikh berkenaan.

Tertuduh dikatakan mempedaya Tan untuk menyerahkan RM140,000 kononnya sebagai modal untuk mendapatkan keuntungan pelaburan permodalan hartanah yang sebenarnya tidak wujud.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan Timbalan Pendakwaraya Ahmad Fadli Mahmud di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdi.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun.

Isteri tertuduh, Nurul Shahila Saayan, 28, pula didakwa bersuhabat menipu mangsa sama membabitkan amaun, lokasi dan masa sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Badrul Munir membenarkan Mohd Salam dan Nurul Shahila masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan pasangan suami isteri itu menyerahkan pasport masing-masing kepada pihak mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

Nurul Shahila membayar wang jaminan manakala Mohd Salam pula gagal melunaskannya dan ditahan di lokap Penjara Marang.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Nasir Yusof dan Mohd Fauzi Abdul Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:39 PM