RAJA Aziz Raja Ngah terpaksa memindahkan barangan di dalam rumahnya ke tempat yang lebih selamat berikutan banjir gelombang kedua yang melanda sejak pagi tadi di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


TIGA sekolah di Kemaman dan Dungun ditutup hari ini berikutan terputus hubungan dan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, Kemaman membabitkan seramai 264 murid dan 26 guru terpaksa ditutup kerana terputus hubungan manakala di Dungun, SK Pasir Raja yang mempunyai 63 murid dan 17 guru serta SK Kampung Shukor dengan 73 murid dan 13 guru ditutup selepas kawasan sekitarnya dinaiki air.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, sekolah terbabit terpaksa ditutup kerana murid dan gurunya tidak dapat ke sekolah kerana terputus hubungan selain ada kelas yang dimasuki air sehingga sesi pembelajaran tidak boleh diadakan.

"Banjir itu juga dibimbangi mengancam keselamatan murid di sekolah sekali gus pihak jabatan melihat adalah wajar ditutup untuk kebaikan semua pihak walaupun sesi persekolahan baru dibuka semalam.

"Dalam keadaan sekarang, kami lebih pentingkan keselamatan murid-murid di sekolah. Apabila situasi di sesuatu sekolah itu boleh mengancam keselamatan murid, seharusnya ia terpaksa ditutup sehingga keadaan kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 2:09 PM