KEHADIRAN 'stormtrooper' watak filem Star Wars menceriakan murid tahun satu di SK Ayer Itam. FOTO Danial Saad
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


WATAK ‘stormtrooper’ daripada filem Star Wars menyambut kedatangan 317 murid pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ayer Itam, Pulau Pinang, hari ini.

Maskot terkenal dari filem Star Wars yang dibawakan khas oleh pihak sekolah sebagai gimik ternyata menggembirakan murid dan ibu bapa yang hadir.

Seorang murid, Ahmad Iman Ayyan Asrol, 7, berkata, dia cukup seronok apabila dapat bertemu stormtrooper itu dari dekat.

“Saya seronok bertemu kawan-kawan baru dan datang ke sekolah dikejutkan pula dengan stormtrooper di depan pintu masuk sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


KEHADIRAN 'stormtrooper' watak filem Star Wars menceriakan murid tahun satu di SK Ayer Itam. FOTO Danial Saad

Hadir sama, Guru Besar, Salizawati Omar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Azhar Hanapi.

Sementara itu, Azhar berkata, sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Ayer Itam pada tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran stormtrooper sebagai usaha pihak sekolah menarik minat murid.

Beliau berkata, pada tahun ini 317 murid berdaftar termasuk murid pra-sekolah dan khas pemulihan.

“Usaha kali pertama membawa watak adiwira itu bagi menarik minat dan semangat murid untuk datang ke sekolah ternyata berjaya.

“Kehadiran stormtrooper ini dilihat mampu memberi keceriaan kepada semua murid terutamanya murid Tahun Satu.

“Kita dapat melihat tiada murid yang menangis, malah mereka nampak teruja apabila melihat stormtrooper menyambut kehadiran di pintu pagar sekolah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Jamil Mohamed berkata, pada tahun ini 20,972 murid tahun satu berdaftar di seluruh sekolah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 2:06 PM