Mayat salah seorang mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk dibedah siasat. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


MAYAT dua lagi mangsa lemas, Muhammad Syafiq Rosli, 15, dan Muhamad Alis M Sadri, 15, ditemui di Sungai Pedas, berhampiran Kampung Merbau 9, Rembau, pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, mayat Muhammad Syafiq ditemui pada 10.10 pagi manakala Muhamad Alis pada 10.56 pagi.

Katanya, mayat mangsa pertama, Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, ditemui pada 10.03 malam, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa datang ke sungai itu pada 4 petang semalam untuk memancing dan mandi bersama seorang lagi rakan yang terselamat, Haikal Najmi Azhar, 15.

"Siasatan bomba mendapati Muhammad Iqqmal dikatakan dibawa arus deras sebelum Muhamad Alis dan Muhammad Syafiq cuba menyelamatkannya," katanya.

Beliau berkata, cubaan itu gagal apabila kesemua mereka lemas dan dibawa arus deras.

"Dalam pencarian bermula 10 malam semalam, sepasukan anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam terbabit mencari mangsa.

"Ketiga-tiga mereka ditemui berdekatan kira-kira 10 meter dari lokasi mereka kali terakhir dilihat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Norazam berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 12:08 PM