KEADAAN motosikal mangsa selepas terbabit kemalangan.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my

Kluang: “Saya nampak kemalangan itu dan tidak sangka ia membabitkan anak saya sendiri,” kata Mohd Hisham Mulyoto, 46, ayah kepada Mohd Haikal, 16, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi-Kluang kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan meraikan ulang tahun kelahiran ayahnya di Kampung Tengah.

“Saya bersama isteri dan dua lagi anak ketika itu menaiki kereta manakala Mohd Haikal yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkeras untuk menunggang motosikal seorang diri.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan saya lihat ada kemalangan dan mengambil keputusan membelok ke jalan lain kerana mahu cepat ke rumah ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Impian di sini, semalam.

Katanya, 40 minit kemudian dia mendapat maklumat daripada sepupu polis mencari dan menyampaikan berita sedih yang menimpa anaknya itu.

“Berita itu menyebabkan kemeriahan sambutan hari ulang tahun bertukar sedih sebelum kami sekeluarga bergegas ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Menceritakan detik sebelum kejadian, katanya, dia ada mengajak anaknya itu naik kereta bersama-sama kerana keadaan hujan.

“Namun dia tetap mahu menunggang motosikal dan keluar lebih awal daripada kami. Apabila sampai di persimpangan Jalan Yap Tau Sah, saya melihat kesesakan teruk di hadapan termasuk sebuah ambulans sebelum bertindak membelok ke kiri untuk meneruskan perjalanan kerana bimbang terlepas majlis,” katanya.

Hisham berkata, keenganan anaknya itu untuk membeli pakaian seragam sekolah yang baru antara petanda sebelum kehilangannya buat selama-lamanya.

“Dia hanya mahu menggunakan pakaian sedia ada dan perkara itu langsung tidak disedari kami sekeluarga,” kata bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Bandar T6 itu.

Katanya, ketika dibawa melancong ke utara tanah air baru-baru ini, dia menjadi seorang yang amat pendiam padahal sebelum ini adik bongsunya akan menjadi mangsa usikannya tidak mengira tempat dan masa.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan reda dengan pemergiannya kerana tahu Allah lebih menyayanginya walaupun kehilangannya amat dirasai, apatah lagi dia seorang yang ringan tulang,” katanya.

Hisham turut menyuarakan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah anaknya itu sehingga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Jalan Haji Manan, tengah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham mengesahkan berlaku kemalangan maut membabitkan remaja selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kemalangan di kilometer 86 Jalan Kota Tinggi-Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 9:27 AM