KAMALIA bersama empat rakan sekelasnya yang memasuki tahun satu SK Betong. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


NUR Kamalia Atilia Kamal yang menghidap kanser mata tahap empat menjadi satu-satunya murid perempuan yang memulakan sesi tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Betong, Kuala Berang, hari ini.

Kanak-kanak terbabit adalah antara lima murid yang mendaftar bagi tahun satu di sekolah itu.

Selain Kamalia, empat lagi murid tahun satu di sekolah berkenaan ialah Muhammad Farizal Iqwah Ismail, Muhammad Hafirul Iman Mazlan, Muhammad Hisyam Iqbal Hanrunnizam dan Ahmad Akif Nazhan Azwan.

Menurut ibunya, Suriyati Mohd Razali, 35, walaupun berada dalam keadaan kekurangan berbanding kanak-kanak lain selepas menjalani pembedahan membuang sebelah matanya sejak dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia empat tahun, tetapi anaknya tetap bersemangat untuk ke sekolah.

Katanya, Kamalia begitu bersemangat untuk bersekolah sehinggakan banyak kelengkapan untuk persekolahan adalah pilihannya sendiri.

"Pagi ini juga, dia bangun awal dan tidak banyak kerenah sebelum saya menghantarnya ke sekolah. Saya juga lihat dia tidak bermasalah ketika berada di dalam kelas bersama rakan lain.

"Saya bersyukur kerana walaupun dia dalam keadaan begitu, tetapi semangatnya sangat kuat. Saya juga bersyukur kerana kesihatan Kamalia juga sudah semakin baik," katanya.

Guru Besar SK Betong Mohamad Sabri Abu Bakar berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan keadaan dialami Kamalia.

Menurutnya, pihaknya akan cuba membantu kanak-kanak terbabit untuk melalui proses pembelajaran sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 3:55 PM