DIN menyampaikan sumbangan kepada Mohd Zain yang menjaga tiga anaknya menghidap penyakit Celebral Palsy. FOTO Faris Zainuldin
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


POLIS Kelantan mengesahkan lelaki tempatan ditahan atas dakwaan cuba meletupkan pondok kawalan sekatan jalan raya (SJR) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, malam kelmarin, sebagai pesakit mental.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata, suspek berusia 30 tahun itu sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Rambutan, Perak, selama beberapa tahun.

Malah, katanya, hasil siasatan dijalankan turut mendapati keterangan suspek kerap bercanggah daripada apa diberikan sebelum ini.

"Kita juga menyiasat dengan teliti barangan dibawa suspek dalam beg sandangnya dan mendapati ia barang yang tidak memungkinkan untuk buat bahan letupan, sebaliknya hanya bijian tepung gandum yang digentel.

"Dia juga tidak menyewa mahupun mempunyai rumah di Kelantan, sebaliknya dia hanya merayau dengan menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari Selangor ke Kelantan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga Mohd Zain Abdullah yang mempunyai tiga anak orang kurang upaya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Lelaki itu ditahan pada 11.30 malam kelmarin di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan dalam begnya menemui lima plastik berisi tepung gandum, satu plastik tepung jagung, gunting, pisau, wayar tembaga, pemutar skru, pasport dan telefon.

Din berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu depan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Walaupun kita tahu rekodnya sebagai pesakit mental, kita tetap tidak mengambil mudah hal ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Lagipun, suspek berada dalam senarai dikehendaki untuk kes di bawah Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya dan turut mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 1:12 PM