DUA motosikal yang masih hilang.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Keinginan dua duda untuk melepaskan gian menghisap dadah gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pondok di Perai, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan pada jam 6.50 petang, suspek berusia 41 dan 48 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan sejurus pemeriksaan di atas lantai di pondok itu menemui satu peket dadah dipercayai heroin dan peralatan menghisap barang larangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas dua motosikal disyaki dicuri. Semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap dua suspek yang berasal dari Sungai Bakap, di sini, dan Baling, Kedah itu juga didapati positif dadah.

“Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A(1), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 10:52 AM