Kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Taman Segar, Cheras, yang dirompak 10 lelaki, malam tadi. 0 Foro Ihsan PDRM
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


CUBAAN orang awam membaling tong sampah aluminium bagi menggagalkan samun sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Taman Segar, Cheras, hari ini, gagal menghalang kumpulan itu melarikan barang kemas bernilai lebih RM1.5 juta.

Dalam rompakan kejadian kira-kira 8.35 malam itu, sekumpulan 10 lelaki berusia 20-an hingga 30-an menaiki motosikal Yamaha 125z melarikan lebih lima dulang barang kemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ismadi Borhan berkata, semua suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh dan bersarung tangan mengambil kira-kira tiga minit untuk melarikan semua barang kemas itu.

Katanya, ketika kejadian, lima pekerja dan dua pelanggan berada dalam kedai namun mereka tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati lima suspek memasuki premis dan memecahkan kaca rak pameran menggunakan tukul besi manakala lima lagi menunggu di luar dengan enjin motosikal hidup.

“Kedudukan kedai emas itu hanya 20 meter dari pintu masuk pusat beli-belah memudahkan mereka melarikan diri,” katanya di tempat kejadian.

Menurutnya, saksi terdengar letupan sebaik suspek memasuki premis namun tiada kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian.

“Bunyi itu dipercayai hentakan kuat pada kaca rak pameran,” katanya.

Menurutnya, ada orang awam cuba menggagalkan usaha kumpulan itu melarikan diri termasuk membaling tong sampah aluminium namun gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 12:02 AM