Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KONTRAKTOR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap dua tuduhan merogol anak tirinya.

Tertuduh berusia 53 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak tirinya berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Peringat, Kota Bharu pada 7 pagi, 9 Jun 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di rumah di Gunong, Bachok pada 7 pagi, Jun 2016.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap tuduhan merogol anak tirinya. FOTO Zaman Huri Isa

Kedua-kedua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 11:06 AM