KANAK-kanak menggunting rambut percuma di Dataran Klawang, di sini, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


LAPAN puluh murid dan orang dewasa di daerah ini mengikuti program gunting rambut secara percuma anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Dataran Klawang, Jelebu, hari ini.

Program Rambut Baru Azam Tahun Baru ini turut memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk menggunting rambut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, dua program diadakan iaitu pada semalam dan hari ini.

"Dalam program dibuat semalam, seramai 30 masyarakat Orang Asli hadir untuk menggunting rambut. Pada hari ini pula seramai 80 murid dan orang dewasa terbabit," katanya.

Beliau berkata, program terbuka kepada semua, namun tidak membenarkan permintaan mengikut fesyen tertentu.

"Kos untuk menggunting rambut adalah antara RM5 hingga RM10. Program ini dibuat percuma untuk meringankan beban masyarakat," katanya.

Kakitangan awam, Mohd Yusnizam Yusran, 38 berkata, program itu bermanfaat kerana memberi peluang kepada penduduk terutama murid dan pelajar yang mahu memulakan sesi persekolahan baru.

"Kesempatan ini digunakan dengan membawa anak lelaki berusia lima tahun untuk menggunting rambut. Saya tahu mengenainya menerusi aplikasi WhatsApp," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 5:50 PM