Mustafa (kiri) menunjukkan jeriji pintu rumahnya yang dikopak penyamun kepada Mohd Zain di Lahar Minyak, Kepala Batas. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri kerugian kira-kira RM8,000 apabila rumah mereka di Lahar Minyak, Kepala Batas, dipecah masuk penyamun, malam semalam.

Kejadian dipercayai berlaku 9 malam ketika pasangan berkenaan, Mustafa Din, 72, dan Minah Hashim, 67, tiada di rumah.

Penyamun mencungkil jeriji pintu depan sebelum masuk dan melarikan barang kemas serta wang tunai yang disimpan dalam almari bilik tidur.

Mustafa yang juga siak masjid berkata, dia dan isterinya keluar ke masjid 6.30 petang dan pulang 9.30 malam.

"Sebaik sampai rumah, kami terkejut kerana jeriji pintu terkopak manakala papan pada pintu pecah.

"Kami segera memeriksa rumah dan mendapati almari di bilik tidur dalam keadaan berselerak manakala rantai, cincin dan sejumlah wang hilang," katanya selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad, hari ini.

Mustafa berkata, kemungkinan lebih dari seorang penyamun yang memecah masuk rumahnya yang kebetulan berada di hujung kampung.

"Kami hairan kerana penyamun seolah-olah tahu tempat barang kemas dan wang disimpan kerana hanya almari dalam bilik tidur diselongkar sedangkan dua lagi almari di luar bilik tidak diusik.

"Selain barang kemas isteri yang sudah lama disimpan, wang baru dikeluarkan dari bank untuk membeli barang dapur turut dikebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 4:27 PM