Junaidah menunjukkan pokok pisang yang dirosakkan monyet di rumah jirannya di Kampung Titi Gantung, Bota Kiri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN monyet dan kera bukan saja merosakkan tanaman dan mencuri makanan malah turut melarikan pakaian dalam wanita sehingga menimbulkan keresahan penduduk Kampung Titi Gantong, Bota Kiri, Bota.

Penduduk, Nur Safiqah Mohd Azahar, 23, berkata, masalah itu sudah lama berlaku namun sejak dua tahun kebelakangan ini ia semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan penduduk berasa takut.

Menurutnya, kumpulan monyet itu bukan hanya merosakkan tanaman dan mencuri makanan penduduk namun terdapat beberapa kejadian yang mana haiwan itu melarikan pakaian dalam wanita.

"Sebelum ini kami ingatkan ada individu yang mencuri pakaian dalam namun tak sangka rupa-rupanya monyet yang melarikannya dan saya sendiri nampak kejadian itu.

"Saya difahamkan haiwan itu lebih menyukai pakaian dalam wanita berbanding lelaki kerana kami pernah cuba meletakkan pakaian dalam lelaki namun ia tidak diambil," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Nur Safiqah berkata, haiwan itu akan datang secara berkumpulan dan bertindak agresif menyebabkan penduduk berasa tidak selamat dan takut.

"Ibu saya pernah dikejar kumpulan haiwan itu sehingga menyebabkan terjatuh dan kerana sudah tak tahan lagi kami membuat aduan kepada PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara).

"Sebuah perangkap sudah diletakkan di belakang rumah datuk saya namun haiwan itu masih lagi berani datang ke situ," katanya.

Bagi Junaidah Mohd Salleh, 50, tanaman seperti pisang, ubi dan serai sering dicabut haiwan itu sehingga dia tidak sempat merasa hasil tanamannya itu.

"Kumpulan haiwan itu juga suka berlari di atas bumbung dan saya akan menutup pintu dan tingkap sekiranya tinggal seorang diri kerana bimbangkan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang berada di kampungnya itu berkata, kacau ganggu haiwan itu membawa ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.

Dia yang pulang melawat ibunya berkata, perangkap sudah diletakkan di belakang rumah ibunya sejak Jumaat lalu dan sehingga kini sudah lapan ekor monyet berjaya ditangkap.

"Situasi ini sesuatu yang membimbangkan lebih-lebih lagi kepada wanita dan saya sendiri sebagai seorang anak turut risau keadaan ibu di rumah ketika ahli keluarga lain keluar bekerja kerana haiwan itu agresif.

"Dalam situasi ini juga penduduk tidak boleh mengambil tindakan sendiri dan sebab itu aduan dibuat kepada PERHILITAN dan kita harap masalah ini dapat diatasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:26 PM