pelajar yang menerima perkhidmatan gunting rambut percuma dalam program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Masjid Tepian Putra.
HM Digital

Kuantan: Kira-kira 100 murid di daerah ini menerima perkhidmatan gunting rambut percuma pada program Kembali ke Sekolah di Masjid Tepian Putra, semalam.

Program anjuran masjid itu mendapat tajaan Kedai Gunteng Barber Shop bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tepian Putra, Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman berkata program tahunan itu adalah inisiatif pihaknya untuk meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi baru persekolahan.

“Kebiasaannya kos untuk gunting rambut kanak-kanak di kedai adalah antara RM7 hingga RM10, tapi mereka diberikan perkhidmatan percuma melalui program ini.

“Program ini juga bertujuan merapatkan silaturahim antara pengurusan masjid dan masyarakat setempat sekali gus menjadikan pusat ibadat ini sebagai pusat khidmat sosial,” katanya.

Pada masa sama, seramai 75 murid termasuk 50 anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Nur Iman menerima kupon bernilai RM100 bagi membeli barangan kelengkapan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 4:44 AM