Sebahagian murid bergambar kenangan pada perasmian Program Gunting Rambut Percuma anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi di Izaty Saloon di Simpang Datai, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


PERGERAKAN Pemuda UMNO Bahagian Langkawi menyediakan 10 tempat untuk menggunting rambut secara percuma kepada murid dan pelajar di Langkawi yang bakal bersekolah Isnin ini.

Program Gunting Rambut Percuma edisi kelapan itu adalah acara tahunan pergerakan itu sebagai inisiatif kebajikan untuk rakyat terutama keluarga yang mempunyai anak ramai.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Ahmad Marzuki Shariat berkata, antara lokasi program itu termasuk Kampung Ulu Melaka, Padang Lalang, Teriang, Padang Matsirat, Kedawang, Temonyong, Teluk Yu, Kelibang, Pulau Tuba dan Kuah.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 murid dan pelajar berusia enam hingga 17 tahun menyertai program itu.

"Program ini dimulakan sejak 2009 dengan pembabitan ketika itu sekitar lebih 500 orang dan selepas itu jumlahnya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun sehinggalah pada kali ini kita mensasarkan 2,000 pelajar.

"Insya-Allah program akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah, ibu tunggal dan warga emas," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Marzuki berkata, program itu turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang menyediakan sejumah dana dan tampil melakukan gimik perasmian di Izaty Saloon di Simpang Datai, Langkawi, hari ini.

Sementara itu, Amad Anuar Dahaman, 12, dari Kampung Ewa berkata, program gunting rambut secara beramai-ramai dan percuma itu begitu menyeronokkan dan memberi pengalaman baharu.

"Gembira kerana dapat potong rambut beramai-ramai, pada masa sama menjimatkan kerana ia percuma.

"Saya dapat tahu program ini menerusi laman sosial, dan saya bersama tiga rakan datang ke sini untuk turut sertai program ini," katanya ketika ditemui di sini.

Nur Nazira Fatini Nazri, enam tahun, yang bakal memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad di sini, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menganjurkan program amal itu.

"Bagus program begini dan saya rasa seronok kerana Isnin ini dapat pergi ke sekolah dengan potongan rambut baharu," katanya yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 9:37 PM