Anggota AKSEM melakukan pemeriksaan dokumen ke atas warga Thailand yang keluar melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). Berkuat kuasa hari ini, Akta AKSEM 2017 digubal bagi memperkemaskan tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


AKTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 2017 berkuat kuasa hari ini mampu mencegah dan menutup ruang buat penyeludup dan penjenayah rentas sempadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, akta itu mampu meluaskan kuasa AKSEM bagi melaksanakan kawalan di kawasan sempadan darat negara yang sering menjadi lokasi penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara berkata, sebelum ini, kuasa terhad AKSEM di pintu keluar masuk sempadan yang turut mempunyai kawasan bebas cukai memberi banyak ruang untuk penjenayah dan penyeludup mengaut keuntungan.

"Sebelum ini AKSEM tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan selagi mereka tidak melepasi pemeriksaan Kastam dan Imigresen di pintu masuk negara.

“Bagaimanapun melalui akta baru ini, AKSEM boleh melakukan pemeriksaan sehingga ke garis sempadan negara sekali gus boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Kementerian Dalam Negeri mengenai Akta AKSEM 2017 berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan ditetapkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat berdasarkan subseksyen 1(2) Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 [Akta 799].

Menurut kenyataan itu, akta itu digubal untuk memperkemaskan tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Sementara itu, Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, AKSEM akan terus menjalankan kerja mereka seperti biasa dalam mengekang penyeludupan.

"Selain itu, tugas AKSEM bukan saja tertumpu di pintu sempadan negara kerana jika kita mendapat maklumat terdapat aktiviti penyeludupan di tempat lain seperti barang penyeludupan berada di Alor Setar, kita juga boleh melakukan serbuan dan merampasnya.

"AKSEM akan terus mencegah aktiviti penyeludupan di samping bekerjasama dengan agensi lain seperti imigresen dan kastam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:50 PM