Zulkipli (empat dari kanan) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


POLIS tumpaskan Geng Apak yang terbabit kegiatan samun dengan tertangkapnya empat lelaki berusia 20 hingga 29 tahun dalam serbuan awal pagi semalam.

Suspek ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada 1.30 pagi semalam selepas tiga jam kumpulan itu menyamun warga emas berusia 60 tahun di Jalan Tanjung Kidurong di Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, suspek yang menaiki Perodua Myvi meluru sebelum menetak kepala mangsa menggunakan sebilah parang dan meminta warga emas itu menyerahkan barang berharga serta wang tunai.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai.

"Polis kemudian menubuhkan pasukan khas menerusi Op Cantas untuk mengesan suspek.

"Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Masjid kira-kira 1.30 pagi sebelum anggota polis memperkenalkan diri bagi pemeriksaan lanjut," katanya dalam sidang media, hari ini.

Zulkipli berkata, suspek mengaku mereka terbabit dengan kejadian samun bersama dua lagi rakan.

“Susulan maklumat itu, polis menahan dua lagi lelaki di rumah pekerja di Kawasan Perindustrian Tanjong Kidurong dan Flat Sungai Plan.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi seperti telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM464, kad tambah nilai sebanyak 42 keping dan tablet hasil kegiatan samun.

"Polis juga merampas senjata tajam seperti pisau, parang dan kerambit serta peralatan menghisap dadah. Semakan mendapati Perodua Myvi yang digunakan adalah milik saudara seorang daripada suspek," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif melakukan samun di sekitar Bintulu sejak seminggu lalu dan polis percaya tiga kes samun berjaya diselesaikan.

"Semua suspek yang positif syabu direman sehingga 4 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:39 PM