Saidon (kiri) di pusara adiknya, Abdul Razak atau Ustaz Sempoi di Kampung Banggol, Pokok Sena. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


TIADA lagi gurauan dan ilmu daripada Abdul Razak Abdul Karim, 47, atau dikenali sebagai Ustaz Sempoi kerana beliau kembali ke rahmatullah, malam tadi, selepas menderita tumor sejak beberapa tahun lalu.

Abdul Razak disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 11.17 malam selepas empat hari menjalani pembedahan kerongkong, 25 Disember lalu.

Kehilangan Abdul Razak sangat dirasai warga Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah, Pokok Sena, iaitu tempat arwah mengajar kerana beliau disenangi disebabkan sikapnya yang ramah serta boleh 'bercampur' dengan golongan muda sehingga digelar Ustaz Sempoi.

Beliau juga baru menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajaran dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan sempat hadir pada majlis konvokesyen di SPICE, Bayan Baru, Pulau Pinang yang disiarkan Harian Metro 30 November lalu.

Abangnya, Saidon, 53, berkata, arwah mahu menjadi pensyarah selepas tamat pengajian di OUM tetapi tidak kesampaian.

"Arwah anak keempat dari tujuh beradik belum berkahwin dan menderita tumor dalam kepala sudah lama tetapi serius sejak November lalu hingga terpaksa bergantung pada kerusi roda.

"Selain mengajar di Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah, arwah juga sering memberi bimbingan mengenai pengurusan jenazah dan sempat memberi buku mengenai ilmu berkenaan kepada rakannya sebelum meninggal dunia," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, 10 pagi tadi.

Berita berkaitan

Dugaan Ustaz Sempoi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 4:11 PM