Keadaan lori remuk akibat rempuhan belakang treler manakala Ridzuan (gambar kecil) maut di tempat kejadian. FOTO/ Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

PEMANDU lori syarikat penghantaran maut selepas lori dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler muatan kabel elektrik di Kilometer 199.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, kira-kira 5 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Ridzuan Kumpelin, 27, beralamat di Petaling Jaya, Selangor, memandu lori penghantaran barang terbabit dalam perjalanan ke selatan tanah air.

Menurut sumber, lori dipandu mangsa tiba-tiba merempuh belakang treler membawa muatan kabel elektrik yang dalam perjalanan dari Kedah ke Pengerang, Johor, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Bomba mengeluarkan mangsa. FOTO/ Mohd Hilmie Hussin

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, kejadian berlaku di laluan lurus tiga lorong ketika cuaca baik.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Manakala pemandu treler yang dirempuh Ismail Hashim, 49, tidak mengalami kecederaan,” kata Mohd Sham ketika dihubungi.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 1:39 PM