NASI ambeng yang siap untuk dihidangkan di Masjid Kariah Tuan Tulis.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Masjid Kariah Tuan Tulis, Tanjung Ipoh di sini, mengambil pendekatan menghidangkan makan malam kepada jemaah bagi menggalakkan penduduk mengimarahkan masjid dan mengamalkan amalan bersedekah.

Pengerusi masjid, Abdul Khalid Ujang berkata, pihaknya menyediakan pelbagai menu masakan setiap tiga kali seminggu selepas solat Isyak.

“Kebiasaannya, masjid mengadakan kelas pengajian agama dan selesai solat Isyak kami akan menyediakan jamuan makan malam berkonsepkan ‘pot-luck’.

“Namun, kali ini kami membuat kelainan dengan memilih untuk menyediakan makanan tradisi kaum dan negeri berbeza yang disediakan secara sukarela oleh jemaah yang berniat untuk bersedekah,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, malam kelmarin.

Pada malam itu, nasi ambeng menjadi menu pilihan yang disediakan seorang ahli kariah, Munir Marsom, 56, berketurunan Jawa berasal dari Sungai Besar, Kuala Selangor.

Munir yang menetap di Kampung Kuala Talang, di sini, sejak 20 tahun lalu, menyediakan nasi ambeng yang menjadi tradisi keluarganya itu kepada jemaah masjid untuk bersedekah selain memperkenalkan masakan itu kepada orang luar.


JEMAAH masjid menjamah nasi ambeng.

“Penyediaan nasi ambeng di dalam dulang mempunyai maksudnya tersendiri. Menurut orang lama, masyarakat Jawa memiliki anak ramai dan sebagai langkah penjimatan, mereka memilih dulang bagi menggantikan pinggan.

“Selain itu, ia membawa maksud penyatuan dan merapatkan hubungan silaturahim antara keluarga serta masyarakat,” katanya.

Kanak-kanak, Hazim Hasnan, 12, berkata dia teruja mengikuti bapanya ke masjid dan menjadi pengalaman pertamanya makan nasi di dalam dulang.

“Saya membantu ahli kariah bergotong-royong menyediakan nasi ambeng untuk dihidangkan selepas solat Isyak. Saya seronok kerana dapat makan di dalam dulang bersama rakan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 8:23 AM