AB Ghani (dua dari kanan) memeriksa sebahagian minyak masak yang dirampas di kawasan sempadan Pengkalan Kubor-Thailand bersama KPDNKK di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Membeli bekalan minyak masak dalam skala besar di Lembah Klang sebelum mengangkutnya dengan treler ke Kelantan untuk diseludup ke Thailand.

Kaedah itu dipercayai digunakan sindiket penyeludupan yang aktif mengedar minyak masak tempatan ke negara jiran mengikut pasaran haram.

Bagaimanapun, ia berjaya dihalang menerusi operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pasukan Polis Marin dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula 21 Disember hingga kelmarin.

Dalam operasi itu, 4,981 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM14,983 dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang pada jam 12.24 tengah hari, 25 Disember lalu.

Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya mengesan ada penyeludup membeli sejumlah besar minyak masak di Lembah Klang selepas pengilang di Kelantan mengurangkan pengeluaran.

“Ada yang membeli sehingga 30 tan minyak masak dan mereka tidak kisah mengeluarkan modal RM1,800 lagi bagi mengupah treler untuk membawa masuk ke negeri ini.

“Ia bukan untuk kegunaan pengguna tempatan, sebaliknya diseludup ke negara jiran menerusi pangkalan haram.

“Jika harga sekotak minyak 17kg adalah RM42 (di sini), mereka jual di Thailand pada harga RM52 sekotak dan selepas tolak upah, penyeludup masih boleh kaut untung RM4,” katanya di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohamad Pajeri Ali dan Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman.

Berikutan itu, Ab Ghani berkata, pihaknya memantau secara lebih kerap 16 kilang penapisan di Kelantan bagi memastikan tiada yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan.

Menurutnya, operasi NBOS dengan agensi lain di sempadan Malaysia-Thailand sentiasa diadakan bagi membendung kegiatan penyeludupan.

“Dalam operasi ini, 33 pegawai dan anggota kedua-dua agensi terbabit melakukan pemeriksaan bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang serta di pesisir pantai (Pengkalan Kubor ke Tok Bali).

“Kita rekodkan tujuh kes dalam tempoh itu (termasuk rampasan minyak masak) merangkumi empat kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan tiga mengikut Akta Padi dan Beras Negara 1994.

“Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM37,049 dan empat individu berusia 35 hingga 60 tahun ditahan secara berasingan di pangkalan haram Kampung Simpangan, Tualang dan Pulau Ular kerana menyeludup 1,230 liter petrol (RM2,792.10),” katanya.

Katanya, tiga kereta dan bot galah disita membabitkan RM20,791.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:45 AM