SM Mohamed menunjukkan antara harga barangan dan pakaian sekolah yang meningkat secara mendadak berbanding tahun lalu.
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan ibu bapa berjimat cermat ketika membeli keperluan sekolah berikutan harga pakaian seragam sekolah semakin meningkat.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ada ibu bapa yang cenderung membeli pakaian seragam sekolah baru walaupun pakaian lama boleh digunakan.

Katanya, tinjauan CAP di kedai dan pasar raya sekitar Pulau Pinang mendapati harga pakaian seragam sekolah semakin meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.

Temu bual bersama ibu bapa juga mendapati mereka berasa terbeban dengan kenaikan harga barangan terutama bagi ibu bapa yang mempunyai bilangan anak ramai dan bersekolah.

“Pakaian seragam, beg, alat tulis dan kasut mencecah RM200 tidak termasuk pakaian sukan, buku dan keperluan lain dan memandangkan pelajar perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pasang pakaian seragam, ia menjadi lusuh hingga hujung tahun.

“Andaikan peningkatan harga 30 peratus, ibu bapa terpaksa membelanjakan tambahan RM45 bagi setiap anak berbanding tahun lalu, jumlah itu begitu besar kerana boleh mengurangkan belanjawan keluarga pada awal tahun,” katanya di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri.

Menurut Mohamed Idris, ibu bapa tidak seharusnya mempunyai tanggapan semua keperluan mesti digantikan dan dibeli baru bagi permulaan sesi persekolahan kerana ia bentuk pengaruh daripada iklan komersial, malah kanak-kanak juga perlu dididik bagi menghargai nilai wang selain terus menggunakan barangan serta peralatan yang masih dalam keadaan baik.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bekerjasama dengan waris bagi menghapuskan budaya tidak sihat itu yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan.

Tambahan pula, bukan pakaian seragam sekolah baru akan menentukan kejayaan akademik pelajar dan nilai itulah yang perlu ditanam di dalam minda ibu bapa kerana ia boleh menyebabkan jurang antara mereka yang ‘ada’ dan ‘tiada’.

“Selain itu, CAP juga menggesa kerajaan memeriksa kualiti pakaian seragam yang terdapat di pasaran supaya ia boleh dipakai pelajar sehingga satu tempoh yang sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:29 AM