Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa. FOTO ihsan bomba
Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


KANAK-kanak lelaki berusia lima tahun cedera di tangan kiri akibat tersepit dalam mesin pengadun kuih di sebuah rumah dekat Pasar Tapah Batu 22, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, Jason Bong Peien dikatakan memasukkan tangan kirinya ke mesin terbabit yang sedang digunakan ibunya mengisar tepung untuk membuat kuih.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.12 tengah hari berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dikerah ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Mangsa memasukkan tangannya ke dalam mesin pengadun tepung yang masih berputar menyebabkan tangan kirinya tersepit dan cedera.

“Kami bertindak memotong dan membuka mesin pengadun kuih itu dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi tamat 12.40 tengah hari dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Pusat Jantung di Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:29 PM