Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my
email:

LIMA penumpang parah selepas sebuah bas ekspres dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 86, Jalan Beluran - Telupid, Telupid, jam 11.30 malam tadi.

Semua mangsa yang parah kini dirawat di Klinik Kesihatan Telupid sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut.

Difahamkan sebelum kejadian bas ekspres yang membawa seramai 21 penumpang sedang dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Kota Kinabalu.

Namun sebaik tiba di lokasi kejadian bas berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan.

Akibat kejadian itu, bas ekspres hilang kawalan lalu berpusing

€™ sebanyak dua kali sebelum terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu jam 1.12 tengah malam.

"Seramai lima anggota dari BBP Kinabatangan dan sembilan dari BBP Beluran bergegas ke lokasi berkenaan.

"Sebaik tiba, didapati sebuah bas ekspres yang dinaiki 21 penumpang dalam keadaan terbalik selepas disyaki terbabas di kanan jalan raya.

"Terdapat lima mangsa cedera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum ketibaan pihak bomba. Bagaimanapun butiran lanjut mangsa belum diterima," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 10:33 AM