ANGGOTA bomba mengiringi mayat pelajar yang ditemui lemas di pantai Kuala Pontian, Kuala Rompin.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Rompin: “Abang tolong, abang tolong.” Itu jeritan terakhir Nik Hafizuddin Nik Aziz, 12, yang meminta diselamatkan abangnya serta empat rakan lain selepas dihanyutkan ombak kuat di pantai Kuala Pontian di sini, kelmarin.

Mayat Nik Hafizuddin dari Kampung Parit Raja Pontian di sini, ditemui pada jam 1.30 tengah hari semalam, 150 meter dari lokasi dia dikatakan mandi bersama abang dan rakannya, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemui anggota bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan sejak kelmarin.

“SAR diteruskan jam 8.15 pagi tadi (semalam) dan dijalankan di sekitar pesisir pantai. Lima jam kemudian mangsa ditemui anggota bomba dan mayat dibawa ke Hospital Rompin di sini, untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian,” katanya, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan mandi bersama abang dan empat rakannya berusia 12 hingga 15 tahun sebelum dihanyutkan ombak kuat.

Azli berkata, berdasarkan temu bual dengan bapa kanak-kanak itu, Nik Aziz Nik Musa memaklumkan anak keempat daripada enam beradik itu keluar dari rumah, jam 3 petang bersama abang dan rakan menaiki motosikal ke pantai.

Menurutnya, ketika mandi, mangsa hanya berseluar pendek hitam dan tidak berbaju sebelum dikatakan menjerit meminta tolong selepas dihanyutkan arus laut yang kuat.

“Abang dan rakan mangsa cuba menyelamatkannya termasuk meminta bantuan orang awam, namun gagal. Mereka menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang selamat adalah abang mangsa, Nik Saifuddin, 15, serta rakannya, Mohamad Adan Danial Kuling, 13, Mohd Fitri Mohd Zaini, 12, Mohd Hafizudin Ali, 12, dan Mohd Hazim Suhaimi, 15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:07 AM