Mohamad Fahmiazuwa dijatuhi hukuman penjara 13 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri motosikal dan pelbagai barangan dapur milik neneknya. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI yang mencuri motosikal dan pelbagai barangan dapur milik neneknya dijatuhi hukuman penjara 13 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohamad Fahmiazuwa Abdullah, 22, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi kenderaan bermotor dan Seksyen 380 KK kerana curi dalam bangunan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri Yamaha Lagenda 110Z E milik Wook Abdullah, 75, di sebuah rumah di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Seberang Takir, Kuala Nerus, 8.30 malam pada 6 Disember lalu.

Tertuduh turut didakwa mencuri tiga kampit beras, tiga bundle gula, dua periuk nasi elektrik, 20 paket minyak masak dan tiga tong gas di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan manakala tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru sampai di rumahnya selepas bercuti di rumah anaknya di Perak kira-kira 8.30 malam pada 6 Disember lalu terkejut apabila mendapati beberapa barangan yang ada di dalam rumahnya hilang disyaki dicuri.

Mangsa kemudian bertanya dengan cucunya (tertuduh) yang berada di rumah sepanjang ketiadaannya sebelum tertuduh memaklumkan barang berkenaan sudah dijual kepada rakannya sebelum melarikan diri.

Tidak cukup menjual barangan yang ada di dalam rumah, mangsa terkejut apabila mendapati motosikalnya turut hilang sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 5:47 PM